Tak tahu nak caj projek edit video? Rujuklah aplikasi ECM Rates.

Baru-baru ini, industri kreatif tanah air telah melalui fasa baharu dengan lahirnya sebuah aplikasi yang dibangun sebagai panduan kepada para penggiat industri.

Aplikasi yang dimaksudkan di sini adalah aplikasi ECM Rates.

Aplikasi itu secara khsusus dibangunkan sebagai panduan kepada para editor video (drama, filem, iklan komersil tv dan lain-lain) untuk menyatakan harga bayaran yang sepatutnya mereka terima apabila terlibat dalam sesebuah projek.

Tidak setakat itu, aplikasi ini juga secara tidak langsung memartabatkan peranan seorang editor yang kebiasaannya dipandang enteng oleh orang luar. Malah oleh sebahagian penggiat industri sendiri.

Antaramuka aplikasi ECM Rates.

Apa yang lebih membanggakan adalah aplikasi ini dibangunkan sendiri oleh penggiat utama yang tidak asing lagi dalam industri kreatif tanah air iaitu saudara (Abang) Isazaly Isa.

Tidak lama selepas aplikasi tersebut dilancarkan minggu lalu, penulis telah berkesempatan menghubungi beliau bagi mendapatkan info lebih mendalam tentang latar belakang aplikasi tersebut.

Dalam temu bual penulis bersama beliau menerusi telefon itu, beliau memaklumkan bahawa sejak 2009 lagi, para editor video profesional Malaysia telah bersama memperjuang untuk menyelaraskan harga yang patut dibayar kepada pihak editor.

“…sampai tahun 2009 masih lagi takde rate sistem, sape-sape je boleh letak harga, there’s no control. So sesiapa je boleh caj berapaKami semua risau tentang masalah dalam bidang profesional ni”.

Tegas beliau, editor video adalah kerjaya profesional yang sepatutnya menerima bayaran berdasarkan profesionalisme yang diiktiraf dalam industri kreatif.

Jadi sejak 2009, para editor video profesional telah bergabung dalam menegakkan hak mereka.

Editors Club of Malaysia

Sedikit sejarah ringkas tentang Kelab Editor Malaysia. ECM (Editors Club of Malaysia) mula ditubuhkan dalam tahun 2009 yang dicetuskan oleh saudara Syed Mustaza Al Jafree (Taza) dengan mengumpulkan beberapa editor video profesional yang menjadi tunjang disebalik tabir penghasilan drama dan filem-filem Malaysia.

Tujuannya adalah bagi mewujudkan satu komuniti yang dapat membela nasib para editor profesional pada ketika itu seterusnya untuk masa hadapan.

Kini selepas lebih 10 tahun, kelab tersebut sudah memiliki lebih daripada 600 ahli yang terdiri daripada pelbagai latar termasuklah editor video profesional, ahli akademik, pelajar dan editor bebas.

Tercetusnya idea aplikasi ECM Rates

Berbalik kepada aplikasi ECM Rates, ia dibangunkan sepenuhnya oleh saudara Isazaly atas keperluan dan rasa tanggungjawab kepada industri.

Menurut beliau, cetusan membangunkan aplikasi tersebut muncul selepas beliau memikirkan sampai bila mereka perlu mengharapkan kepada kadar bayaran yang ditetapkan dalam format fail PDF sahaja yang digunakan sejak 2009 dahulu.

Soalan yang berulang kali ditanya setiap tahun oleh ahli tentang harga semasa bayaran yang patut dicaj juga menjadi sebab mengapa aplikasi ECM Rates dihasilkan.

Jadi dari situlah beliau mula menyuarakan hasrat untuk Kelab Editor Malaysia memiliki aplikasi mereka sendiri.

Pada awalnya, beliau cuba untuk mendapatkan khidmat pembangun aplikasi yang mahir.

Tetapi kerana kekangan bajet untuk servis dan pembangunan aplikasi itu, maka beliau mengambil keputusan untuk cuba membangunkannya sendiri.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Beliau berkata, PKP telah memberi peluang kepada beliau ruang masa untuk mempelajari cara membangunkan sebuah aplikasi.

“Kebetulan masa PKP pertama tu lah, saya tekadlah belajar online macam mana nak buat app“.

Menerusi carian di internet beliau menemui sebuah laman pengaturcaraan yang dikenali sebagai Thunkable.com.

Menurut Isazaly, proses pembangunan aplikasi ECM Rates di platfom Thunkable sebagai amat mudah dipelajari. Kredit: Isazaly Isa

Menerusi platfom Thunkable itulah, beliau telah berjaya membangunkan aplikasi ECR Rates hanya dalam tempoh 2 bulan dengan kadar bayaran USD25.00 sebulan bagi mengakses penuh platfom tersebut.

Malah pada masa yang sama, beliau turut mengikuti kursus cara membangunkan aplikasi dengan mengambil kelas Diploma for mobile App Developement secara atas talian untuk tempoh sekurang-kurangnya 4 bulan yang berharga RM60.00 sebulan.

So, sambil saya belajar tu, sambil tu lah betulkan apa yang saya tak faham dan sebagainya. Saya rasa itu adalah satu achievement untuk saya dengan belajar suatu yang baru”.

Bantuan

Sungguhpun ECM Rates dibangunkan sepenuhnya oleh beliau sendiri, tetapi Isazaly Isa berkata bahawa pembangunan aplikasi ini tidak mungkin tercapai jika ia tidak dibantu oleh 80 ahli ECM lain yang telah memberikan bantuan kewangan sebagai menyokong usaha beliau.

“Saya tak minta banyak pun, saya cakap donate lah minimum RM20.00. Tapi surprisingly ada yang donate sampai RM200.00!”

Terpakai untuk profesional, panduan untuk yang baru nak ‘up’

Antara info yang terdapat si dalam aplikasi ECM Rates ini adalah dinyatakan kadar harga bagi seorang pembantu editor, Digital Image Technician (D.I.T), bayaran editor berdasarkan jenis projek dan lain-lain.

Tetapi persoalannya, siapakah yang layak untuk mendapatkan harga seperti yang dinyatakan dalam ECM Rates?

Menurut Isazaly Isa, ECM Rates adalah sebagai panduan untuk editor khususnya mereka yang bergiat aktif dalam industri untuk meletakkan harga bayaran yang releven untuk projek yang mereka akan terlibat.

It’s more for our komuniti yang kecik. At least you know how much you should charge. Bukan dengan memaksa producers tu, ok ini harga kita tau. Sebaliknya ia masih bersandarkan kepada negotiation. Tapi kita meletakkan benchmark. Kalau rate ini digunakan pun, make sure diorang adalah profesional (at least ada berdaftar dengan Kelab Editor Malaysia) atau di bawah PROFIMA (Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia)”

Tambah beliau lagi,

“Takkan lah budak baru fresh graduate and then tiba-tiba guna app ni, nak caj harga tu, so it’s not fair.”

Bidang penyuntingan video adalah kerjaya profesional yang memainkan peranan penting dalam industri kreatif. “Sebagai editor saya bertanggungjawab memberikan nyawa pada filem tersebut”. Isazaly Isa.

Harapan

Isazaly menjelaskan, tidak seperti kerjaya profesional lain, sehingga kini belum ada akta yang menetapkan harga bayaran untuk editor video profesional. Tetapi itu tidak bermakna tiada tetapan kadar bayaran yang sepatutnya diterima oleh mereka.

Rate kita ni, sebenarnya ada a proper rate. Tapi tak pernah dipraktikkan. Sebab takde akta. Kita (editor video) tak dilindungi oleh payment scheme atau payroll for a freelancer. Macam Singapore diorang semua memang protected… diorang dah ada freelance akta dan sebagainya.”

(Rujuk Advocates For The Arts)

Beliau mengharapkan dengan wujudnya aplikasi ini, ia akan membuka mata pihak berwajib.

Juga semoga ia menyedarkan para editor video lain bahawa mereka punyai hak untuk meletakkan kadar bayaran yang sepatutnya diterima untuk sesuatu projek.

Selain itu beliau juga berharap, aplikasi ECM Rates ini sekurang-sekurangnya akan dapat memberikan panduan kepada mereka yang baru atau mahu menceburi industri ini dengan meletakkan kadar bayaran yang releven berdasarkan kepada keupayaan dan kelayakan seperti kelengkapan perkakasan, perisian, pengalaman dan kemahiran yang mereka ada.

Pelan jangka masa panjang

Isazaly memaklumkan, buat masa ini beliau menguruskan sepenuhnya aplikasi ECM Rates dari aspek reka bentuk, antaramuka, kemas kini kandungan dan lain-lain.

Ia termasuklah kemas kini info kadar bayaran berdasarkan faktor semasa. Tetapi beliau juga memaklumkan sedang dalam proses membangunkan versi terbaru aplikasi ini yang dilengkapi dengan ciri yang lebih baik untuk penggunanya.

Beberapa lagi kandungan berkaitan dalam aplikasi ECM Rates akan dimasukkan untuk rujukan penggiat industri.

Aplikasi ECM Rates sudah pun boleh di muat turun secara percuma dari App Store untuk peranti iOS dan Google Play Store untuk peranti Android.

P/s: Jutaan terima kasih kepada Abang Isazaly Isa yang sudi ditemu bual menerusi telefon yang dibuat secara tiba-tiba.

Untuk pengetahuan semua, Abang Isazaly Isa adalah tokoh yang dihormati dalam dunia suntingan video di Malaysia dan Singapura. Beliau berpengalaman lebih daripada 20 tahun dalam industri kreatif dan masih aktif sehingga kini menerusi syarikatnya, Kino-i Pictures.

Beliau juga merupakan jurulatih bertauliah bagi perisian suntingan Final Cut Pro dan Blackmagic Design.

Kenali lebih mendalam tentang diri beliau dalam artikel Temu bual bersama Abang Isazaly.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here