SKMM

Serbuan dilakukan di 12 lokasi di empat buah negeri iaitu di Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Pulau Pinang antara Julai hingga awal Oktober 2019.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas 58 kelengkapan komunikasi tidak diperakui dalam beberapa serbuan yang dijalankan di 12 lokasi berbeza di empat (4) buah negeri – Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Pulau Pinang antara bulan Julai hingga awal Oktober 2019.

Antara kelengkapan komunikasi yang telah dirampas adalah antena, signal booster dan repeater, sistem pemancar TV tanpa wayar and penghantar AV, Kotak TV Android, walkie-talkie dan RF Repeater.

Kesemua barang rampasan telah disita oleh PDRM sebelum diserahkan kepada MCMC untuk tujuan analisis bagi membantu siasatan.

Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam (6) bulan atau kedua-duanya.

Ketegasan MCMC dalam membanteras pemilikan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak standard terserlah apabila sebanyak 19 kes membabitkan 66 pertuduhan telah dibawa ke muka pengadilan bagi tempoh antara Jan hingga September 2019 yang mana nilai denda dikenakan berjumlah RM432,000.

Sepanjang tahun 2018 pula, sebanyak 10 kes membabitkan 15 pertuduhan dibawa ke mahkamah. Kesemua pertuduhan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM55,500.

Usaha untuk membanteras penggunaan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui yang giat dijalankan ketika ini oleh MCMC, akan diperhebatkan lagi.

Ini bermakna, lebih ramai yang terbabit sama ada memiliki ataupun menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti sedemikian boleh membuat laporan atau aduan kepada MCMC bagi membolehkan siasatan dan tindakan susulan diambil.

Orang ramai juga diingatkan supaya hanya membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang memaparkan label MCMC sahaja.

Sekiranya tidak pasti, manfaatkan aplikasi mudah alih Check Your Label atau layari laman sesawang https://ecomm.sirim.my bagi memastikan kelengkapan komunikasi yang anda gunakan adalah sah dan diperakui.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here