iCloud ikon
JIka storan iCloud yang ada tidak mencukupi, perlukah anda membeli pelan storan tambahan iCloud?

Jika anda memiliki produk-produk Apple seperti iPhone, komputer Apple Macintosh atau Apple Watch, anda pasti juga memiliki akaun Apple iCloud.

iCloud merupakan satu bentuk servis storan awan terbina dalam yang tersedia ada pada setiap peranti Apple. Ia menyediakan servis storan awan bagi menyimpan pelbagai jenis bentuk data seperti gambar, video, muzik, dokumen aplikasi dan lain-lain dengan selamat.

iCloud juga memastikan semua peranti Apple yang anda miliki sentiasa dikemaskini kandungannya secara automatik apabila ia diaktifkan.

Sebagai contoh, nota yang ditaip dalam aplikasi Notes, mesej yang dihantar menerusi aplikasi Messages atau kerja-kerja yang dibuat menerusi aplikasi iWork (Pages, Keynote, Numbers) akan sentiasa dikemaskini pada setiap peranti Apple yang anda miliki secara automatik.

Tidak setakat itu sahaja, ia juga memudahkan anda berkongsi gambar, kalendar, lokasi dan banyak lagi bersama rakan dan keluarga anda.

Malah iCloud dapat membantu anda mencari dan memberikan lokasi sesebuah peranti Apple sekiranya ia dicuri atau mengesan kedudukan lokasi rakan.

Storan iCloud
Apabila iCloud diaktifkan pada peranti iOS atau Mac, setiap perubahan kandungan yang dibuat pada sebuah peranti akan turut mengubah kandungan peranti lain secara automatik.  Kredit imej: Apple

Ringkasnya, iCloud memudahkan pengguna peranti Apple mengurus dan mengemaskini data-data dalam setiap peranti yang mereka miliki secara automatik tanpa memeningkan kepala penggunanya.

iCloud web
Jika anda tidak memiliki sebarang Apple Mac atau iOS, anda masih boleh mengakses akaun iCloud anda dengan menggunakan mana-mana aplikasi pelayar web di iCloud.com.

Apple memberikan storan iCloud bersaiz 5GB secara percuma apabila anda mencipta akaun iCloud. Saiz tersebut memanglah kecil jika hendak dibandingkan dengan keperluan kapasiti penggunaan harian anda.

Jadi untuk menambah saiz storan iCloud, anda perlu membayar untuk langganan servis tersebut setiap bulan.

Beli storan iCloud

Maka di sinilah bermulanya isu yang hendak dibincangkan iaitu perlukah anda membeli storan tambahan iCloud?

Beli jika…

Kebiasannya pengguna yang AriffMac jumpa membeli storan tambahan iCloud adalah mereka yang bekerja dalam bidang eksekutif dan profesional seperti para pensyarah, penjual insurans, pegawai-pegawai berpangkat tinggi dan ahli-ahli perniagaan.

Mereka ini adalah golongan yang biasanya melanggan servis storan iCloud ini sebab:-

  1. Mampu membayar bulanan secara tetap untuk servis iCloud
  2. Tidak mahir dengan eko sistem peranti-peranti Apple
  3. Tiada masa untuk menguruskan data-data dalam peranti yang dimiliki.
  4. Memiliki peranti seperti iPhone yang berstoran kecil
  5. Senang, tak memeningkan kepala (huloq duit ja).

Kebanyakkan dari golongan ini juga biasanya melanggan pakej pelan storan iCloud 50GB yang berharga RM3.90 sebulan. Ia murah dan saiz storan itu juga agak besar kepada sebahagian mereka.

Resit iCloud
Contoh resit langganan iCloud.

Setakat ni secara peribadi belum AriffMac jumpa pengguna yang melanggan servis storan iCloud bersaiz 2TB yang berharga RM39.90 sebulan. Tapi pastinya ada di luar sana.

Setakat 200GB tu biasalah jumpa seperti jurufoto dan pensyarah universiti dan sebilangan anak-anak orang kaya. Yang bekerja tu memang kita boleh fahamlah sebab untuk memenuhi keperluan tugasan mereka.

Tapi kat anak-anak orang berada atau budak-budak baru nak up ni yang aku tak faham. Kebanyakkan daripada mereka ini yang menggunakan servis iCloud sebenarnya tak tahu langsung pun tentang selok belok eko-sistem iCloud atau peranti Apple yang dimiliki mereka.

Pendek cerita, buta teknologi, tau pakai ja.

Tapi bab bergaya sakan nombor satu, bergambar tak ingat. Storan 128GB pun boleh penuh dengan gambar-gambar selfiie dan video saja.

Tambahan pula mak bapak yang bayar, jadi dengan mudahnya depa kata, “Duit banyak, bayar je lah….”

via GIPHY

Tak perlu beli jika…

Sebenarnya anda tak perlu beli pun storan tambahan iCloud. Jika saiz storan 5GB iCloud percuma yang diberikan sudah cukup untuk anda, maka tak perlulah bazirkan duit bayar bulan-bulan kepada Apple. Baik simpan duit tu atau belanja kawan-kawan lagi bagus.

iCloud storage
Yang ada ni pun tak habis pakai.

Malah, daripada anda membelanjakan wang secara bulanan untuk storan iCloud ini, adalah lebih baik anda beli saja peranti storan luar bersaiz 1TB atau 2TB. Lebih murah, lebih jimat, lebih kapasiti, lebih ekonomi.

Jadikan storan luar sebagai pusat simpanan data dan backup peranti anda.

Atau boleh gunakan servis storan awan lain yang menyediakan servis storan awan secara percuma seperti Google Drive (15GB), Sync.com (5GB), Dropbox (2GB), box (50GB) dan lain-lain.

Cuma kelemahannya, anda terpaksa rajin-rajinkan diri menguruskan data dan terpaksa memiliki pelbagai jenis akaun storan awan untuk dapatkan saiz storan yang besar.

akaun flickr
Flickr menyediakan storan awan bersaiz 1TB untuk anda meyimpan gambar dan video secara percuma.

Kelebihan iCloud

iCloud bertindak sebagai pusat simpanan data yang dapat menyimpan pelbagai jenis data pengguna pada pelayan (server) mereka yang boleh diakses di mana sahaja mereka berada. (Tapi Apple telah mengesahkan yang mereka turut menggunakan pelayan Google sebagai pusat penyimpanan data pengguna iCloud pada awal tahun ini).

Anda juga tidak lagi perlu risau akan kehilangan atau data-data yang tidak selari pada setiap peranti. Memiliki storan iCloud berkapasiti besar memberikan kelebihan untuk anda membuat tetapan proses salinan data (iCloud backup) secara automatik yang diaktifkan pada peranti.

iCloud Backup
iCloud backup akan menyalin data seperti foto, akaun, dokumen dan tetapan konfigurasi peranti apabila peranti disambungkan kepada soket kuasa dan sambungan Wi-Fi. Anda juga boleh menetapkan aplikasi-aplikasi tertentu sahaja untuk disambungkan kepada iCloud. Sekaligus akan dapat menjimatkan penggunaan ruang storan iCloud.

Senang cerita anda tak perlu serabutkan kepala otak mengurus data-data pada setiap peranti Apple yang dimiliki dengan memiliki storan iCloud bersaiz besar.

Tetapi tetap perlu diingat, anda sebenarnya masih perlu menguruskan data-data yang terdapat di dalam storan iCloud. Ini kerana jika anda membiarkan sahaja dengan sentiasa memuatkan data ke dalamnya, lama kelamaan pelan storan tersebut akan semakin penuh juga.

Di sinilah Apple akan mula meracun pelanggannya dengan menghantar emel berbentuk cadangan supaya mereka menaik taraf pakej langganan storan iCloud yang sedia ada kepada saiz yang lebih besar.

Jadi, sampai bila anda sanggup nak bayar kepada servis iCloud Apple ini?

Kesimpulan

Jadi, perlu beli atau tidak storan tambahan iCloud ni… Bergantung, lihat kepada keperluan, gaya penggunaan peranti, kerajinan dan kemahiran teknikal anda.

Jika anda rasa iCloud ni amat diperlukan yang sekaligus memudahkan data-data pada semua peranti diurus, silalah langgan pelan iCloud yang bersesuaian dengan kekerapan penggunaan anda.

Jika rajin dan mahir dengan cara buat backup dan menguruskan data-data anda dalam eko sistem peranti-peranti Apple, ada baiknya tak perlulah beli. Tapi ini semua berbalik kepada keperluan anda.

Artikel ini sekadar cadangan, kurang lebih, bolehlah fikir-fikirkan sendiri…. Sekian.

1 COMMENT

  1. please email saya. saya perlukan pertolangan anda. storage saya terlalu penuh sampai gambar bfore semua tkdapat saya tengok sebab icloud tkdapat bckup 😭

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here