Dikemas kini pada 28 Jun 2019 – Berdasarkan info dari CPCS (Consumer Product Safety Commision) A.S, sebanyak 26 laporan telah diterima oleh pihak tersebut berkaitan dengan isu bateri MBP terlebih panas, termasuklah 5 laporan berlakunya kebakaran kecil, satu laporan penggunanya terhidu bau asap serta 17 lagi laporan insiden kerosakan kecil pada barangan pengguna yang terletak berhampiran dengan MBP yang terjejas dengan isu ini.

Boleh melambat-lambatkan tapi…

Seperti sedia maklum, Apple Inc. baru sahaja melancarkan program penggantian bateri secara percuma bagi Macbook Pro 15″.

Secara khususnya, model MBP yang layak mengikuti program tersebut adalah model Macbook Pro 15″ yang dijual antara September 2015 dan Februari 2017.

Ia berikutan masalah bateri pada Macbook Pro tersebut yang Apple nyatakan bateri di dalam MBP itu mungkin boleh menjadi terlampau panas ketika beroperasi sehingga boleh berlakunya kebakaran sekaligus membahayakan penggunanya.

Cuma untuk program ini, Apple tidak pula menyatakan tempoh tertentu yang membolehkan anda menukar bateri MBP tersebut. Bermakna, program penukaran bateri ini   masih sah walaupun selepas 5 tahun tawaran penukaran bateri ini dilancarkan.

Tetapi, adakah anda patut menunggu sehingga setahun atau lebih daripada sekarang barulah anda rasakan perlunya pergi menukar bateri MBP tersebut?

Lihat kembali…

Isu utama yang perlu diberi perhatian di sini adalah mengapa Apple secara tiba-tiba sahaja melancarkan program penggantian bateri percuma terhadap MBP 15″ yang dijual antara September 2015 dan Februari 2017?

Jika disoroti kembali beberapa minggu yang lalu, media telah melaporkan bahawa berlakunya kebakaran terhadap model Macbook Pro 15″ ketika digunakan secara biasa. Insiden itu juga telah sempat dirakam oleh pemiliknya.

Pemilik tersebut yang merupakan seorang pemuzik mendakwa, Macbook Pro nya didapati secara tiba-tiba berasap dan seterusnya terbakar.

Selepas insiden tersebut beliau telah menghantar MBP nya ke Apple Store dan isu ini telah menarik perhatian Apple di Cupertino.

Kemudian isu itu senyap begitu sahaja dan pemilik tersebut telah ditawarkan MBP yang baru dari Apple bagi menggantikan MBP nya yang terbakar itu.

Kini selepas 3 minggu insiden tersebut, Apple telah menawarkan program penggantian bateri bagi sebahagian model MBP 15″ yang didapati mungkin boleh terbakar akibat masalah bateri.

Sungguhpun Apple menyatakan secara jelas masalah bateri MBP yang mungkin boleh terbakar ini, tetapi tiada makluman rasmi sama ada ia ada kaitannya dengan insiden MBP terbakar yang berlaku sebelum ini.

Tetapi yang pastinya jurutera Apple tidak duduk diam dan telah menjalankan siasatan secara terperinci bagi mendapatkan jawapan segera kepada punca insiden MBP tersebut terbakar.

Mengapa Apple cepat respon… 

Mungkin bagi sebahagian pengguna berasa pelik mengapa isu bateri ini boleh pula pihak Apple cepat respon dan segera menawarkan program ganti bateri percuma kepada pemilik.

Tetapi sangat lembab respon terhadap isu lain yang turut dihadapi oleh pemilik Macbook Pro sebagai contoh isu flexgate’ MBP.

Jawapannya mudah, isu bateri merupakan isu kritikal yang boleh membahayakan nyawa pengguna. Malah lebih teruk mungkin juga mampu membahayakan nyawa orang lain. Sebagai contoh, cuba bayangkan jika MBP yang terjejas itu terbakar ketika anda sedang menggunakannya di dalam kapal terbang…

Sebab itulah Apple tidak menunggu lama bagi mengeluarkan amaran dan menawarkan penggantian bateri percuma terhadap MBP yang terjejas.

Ia adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya insiden yang lebih buruk sekaligus memberi kesan yang lebih teruk kepada Apple.

Berkaitan dengan respon lembab Apple terhadap masalah flexgate’ MBP pula, ia kerana isu tersebut tidak melibatkan nyawa penggguna serta mungkin juga disebabkan oleh kos yang tidak mahu ditangung oleh Apple, yakni hanya merugikan mereka.

Apple telah pun menawarkan program penggantian skrin secara percuma hanya untuk model Macbook Pro 13″ sejak Mei lalu. Walhal isu sama turut berlaku pada pengguna MBP 15″ model 2016, 2017 dan 2018.

Jangan tunggu

Jadi, kepada pemilik MBP yang terjejas dengan isu bateri ini dan bertanya adakah mereka perlu segera mengikuti program yang ditawarkan Apple ini walaupun kesihatan bateri mereka menunjukkan yang ia masih baik?

Secara peribadi saya syorkan anda segeralah menukarnya sebelum kejadian buruk menimpa.

Siapa yang layak untuk program ganti bateri percuma ini?

Seperti yang dimaklumkan di awal tadi, Apple menyatakan secara jelas bahawa hanya model Macbook Pro 15″ yang dijual antara September 2015 dan Februari 2017 sahaja yang layak mengikuti program ini.

Model Macbook Pro selainnya tidak terjejas dengan isu ini. Atau untuk lebih tepat, anda boleh menyemak dahulu di laman Apple Support bagi mengetahui sama ada Macbook Pro anda terjejas dengan isu ini ataupun tidak.

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang mungkin pernah menggantikan bateri MBP mereka selain dari pusat servis sah Apple, anda berkemungkinan besar tidak layak untuk mendapatkan ganti bateri percuma yang ditawarkan oleh pihak Apple ini.

Hantar ke Pusat servis sah Apple

Kepada pemilik MBP yang terjejas, anda boleh sahaja menghantar ke mana-mana pusat servis sah Apple yang ada berhampiran anda di seluruh Malaysia.

Namun begitu, mungkin pernah berlaku situasi di mana pemilik yang menghantar produk Apple mereka yang masih di dalam jaminan untuk dibaik pulih secara percuma atau ganti di pusat servis sah Apple mengalami kesukaran.

Pusat servis tersebut pendek cerita, banyak songeh. Hal ini tidak dinafikan memang ada berlaku yang mana ia tidak sepatutnya berlaku kerana mana-mana pusat servis sah Apple wajib menerima dan memberikan servis percuma terhadap produk Apple yang layak dan masih berada di bawah jaminan Apple.

Kesimpulan

Berbalik kepada fokus utama artikel ini, adakah anda patut segera hantar ganti bateri MBP tersebut di pusat servis sah Apple atau tunggu sahaja dulu?

Saya syorkan supaya anda hantar segera bagi mendapatkan ganti percuma bateri untuk MBP 15″ anda yang terjejas. Bukannya apa, penting demi keselamatan anda juga. Malang tidak berbau. Status perkakasan dalaman MBP tersebut kita tidak tahu secara jelas.

Pihak Apple pula bukanlah saja-saja melancarkan program penggantian bateri ini yang dilihat dibuat secara tiba-tiba. Kebetulan pula tidak lama selepas insiden MBP terbakar yang berlaku itu.

Apa pun, pandangan dan nasihat sudah diberi. Selebihnya terpulang pada anda. Sekian.

P/s: Bateri MBP yang diganti secara automatik akan berada di bawah jaminan Apple dalam tempoh 90 hari selepas ia diganti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here