Temu bual bersama Tuan Hafeez Hasmat
Menemu bual pakar Hackintosh – Hafeez Hasmat.

Pada awal tahun ini, AriffMac telah berkesempatan menemu bual seorang yang amat mahir dengan perkakasan komputer. Malah bukan setakat itu sahaja, beliau juga merupakan seorang yang pakar dalam selok-belok perkakasan dan perisian bagi menghasilkan sebuah komputer Hackintosh.

Individu yang dimaksudkan di sini adalah saudara Hafeez Hasmat.

Hafeez Hasmat atau nama sebenar beliau Mohd. Hafeez bin Hasmat adalah berasal dari negeri Terengganu. Walaubagaimanapun, selepas berkahwin dengan orang Penang, beliau kini menetap di Pulau Pinang dan dikurniakan dengan seorang anak lelaki.

Beliau yang kini berusia 39 tahun adalah seorang jurugambar dan juruvideo sepenuh masa. Tetapi secara sambilan beliau turut membuat servis baik pulih Mac dan membina Hackintosh.

Sebelum berkeluarga, pada tahun 2011 beliau pernah menetap di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor dan di situlah beliau mula bekerja sebagai jurugambar dan juruvideo sepenuh masa.

Dari Windows kepada Mac

Menurut Hafeez, beliau sebelum ini menggunakan perisian Adobe Premiere untuk kerja-kerja penyuntingan video. Tetapi ramai rakan-rakan lain mencadangkan kepada beliau untuk menggunakan perisian Final Cut Pro.

Maka bermula dari situlah beliau mula berjinak-jinak dengan komputer Apple Macintosh dan Mac pertama yang dibelinya adalah Macbook Pro 13″. Semuanya sebab kerana ingin cuba menggunakan perisian Final Cut Pro.

“…first time beli dan pakai Mac memang rasa senang giler… operating sistemnya pun kita tak perlu risau lagi pasal virus…”

Tidak lama selepas menggunakan Macbook Pro, beliau telah membeli pula iMac 27″ model 2011. Di sinilah beliau menyifatkannya sebagai punca kepada terjebaknya beliau dengan Hackintosh.

Menaik taraf iMac

Hafeez berkata, beliau sebelum ini memang sudah pun sedia mahir dengan selok belok perkakasan komputer.

Ini kerana beliau sering melakukan pengubahsuaian secara ekstrem (overclocking) ke atas perkakasan komputer bagi meningkatkan prestasi komputer yang dimilikinya ke tahap maksimum bagi memenuhi kepuasan hati yang suka bermain permainan video.

Jadi, dek kerana perasan ingin tahu dan sifat beliau yang sentiasa berasakan spesifikasi komputer standad adalah tidak memadai, beliau pun mengambil keputusan untuk membedah iMac yang baru dibelinya itu.

iMac Hafeez Hasmat
Gambar yang dikongsikan beliau di laman grup FB Mac User ketika pertama kali membedah iMac.

Menurut Hafeez, pada ketika itu beliau cuba mendapatkan info bagi menaik taraf iMac tersebut. Walaubagaimanapun, dari pelbagai sumber yang didapati, tiada jawapan tepat atau khusus yang dapat memuaskan hati beliau.

Ketika sedang mengharapkan jawapan yang dicari-cari itulah secara kebetulan beliau telah dimasukkan bersama ke dalam laman grup Facebook Mac User oleh rakannya.

Di sinilah juga beliau mula berkenalan dengan Tuan Haji Ismail Ahmad, individu pertama yang menjawab pertanyaan beliau di dalam grup tersebut.

Hafeez hasmat 1
Pos asal beliau di grup FB Mac Userbertanyakan tentang menaik taraf iMac pada tahun 2013 yang lalu.

Dengan hasil usaha gigih serta berbekalkan ilmu-ilmu yang dikongsi dari grup Mac User serta sumber-sumber yang lain, akhirnya beliau telah berjaya menaik taraf cip pemprosesan iMac 27″ tersebut dari asalnya hanya menggunakan Intel Core i5 2.7GHz kepada cip intel Core i7 3.4GHz!

Namun begitu, kejayaan tersebut masih belum cukup memuaskan hati beliau. Tidak lama selepas berjaya menaik taraf cip pemprosesan iMac, beliau telah cuba pula mencari jalan untuk menaik taraf kad grafik iMac itu pula.

“Kat situlah start  benda-benda pelik, kerja-kerja giler…pastu upgrade jugak yang lain-lain ni…”

Hafeez Hasmat Hackintosh

Mula Hackintosh

Pada peringkat awal, beliau hanya membaca dan mengumpul info-info berkaitan Hackintosh.

Tetapi beliau mula cenderung dan serius untuk membuat Hackintosh nya sendiri apabila beliau menerima satu kerangka Power Mac G5 yang diberikan pensyarah isterinya, Dr. Jasni dari USM.

Bermula dari situlah, beliau mula membeli sikit demi sedikit perkakasan-perkakasan yang diperlukan untuk dijadikan projek Hackintosh pertamanya yang akan dipasang dalam kerangka Power Mac G5 tersebut.

Hackintosh Hafeez Hasmat
Salah satu projek Hackintosh terbaru yang ditempah oleh pelanggan beliau ini masih dalam proses untuk disiapkan.

Lebih kurang sebulan selepas itu, akhirnya beliau pun berjaya mengumpul perkakasan-perkakasan yang diperlukan dan segera memulakan projek Hackintosh pertamanya.

Menurut Hafeez, proses membuat Hackintosh sebenarnya tidaklah sesusah mana pun dan tidak mengambil masa yang lama.

Beliau hanya mengambil masa kurang dari sehari saja untuk siapkan pemasangan perkakasan, proses memasukkan sistem dan membuat tetapan pada mesin Hackintosh tersebut. Selepas dari itu beliau pun mula sedar bahawa…

“Okay, senangnya. Bila dah faham konsep Hackintosh ni aku rasa… Ya Allah, selama ni aku kena tipu ngan Apple rupanya.” ujar beliau.

Apabila ditanya kenapa beliau lebih sukakan Hackintosh, Hafeez memberikan 4 sebab kenapa pengguna Mac patut buat Hackintosh.

  1. Lebih nilai dan kawalan terhadap spesifikasi

Hafeez menjelaskan, pengguna boleh memilih perkakasan yang mahu digunakan sendiri untuk Hackintosh.

Bermakna, pengguna dapat menghasilkan komputer yang menggunakan sistem operasi macOS dengan spesifikasi perkakasan yang jauh lebih murah serta lebih berprestasi tinggi berbanding versi Mac dari Apple.

2. Hackintosh untuk prestasi

Hafeez berpendapat, Hackintosh ini ada tujuannya kenapa ia perlu dibuat. Hackintosh juga boleh dibuat pada mana-mana komputer (yang bersesuaian).

Ini kerana Apa yang penting adalah hasil akhir yang dimahukan pada sesebuah komputer iaitu prestasi.

Hackintosh Hafeez Hasmat 2
Salah satu spesifikasi PC yang berjaya di hackintosh.

“Hackintosh ni ada tujuan, bukan suka-suka nak pi lepak duduk kat Starbuck”

3. Fleksibiliti Hackintosh vs kitaran naik taraf Mac

Adalah menjadi kebiasaan pembeli Mac terpaksa menunggu Apple menaik taraf perkakasan untuk Mac bagi tempoh yang terlalu lama.

Malah ada yang sampai 2 hingga 3 tahun barulah Apple melengkapi model-model Mac terbaru mereka dengan perkakasan terkini.

Tetapi ia tidak berlaku untuk Hackintosh di mana pengguna tak perlu menunggu Apple. Mereka boleh saja bila-bila masa mendapatkan perkakasan komputer dari kedai-kedai jualan perkakasan komputer untuk menaik taraf Hackintoh mereka sendiri.

4. Dapat ilmu baru…

Tambah Hafeez, daripada pengamatan beliau sepanjang menghasilkan Hackintosh, beliau mendapati cip pemprosesan pada komputer Hackintosh didapati menjadi lebih sejuk berbanding ketika komputer itu menggunakan perisian Windows.

Tetapi beliau juga mendapati, kad grafik di dalam komputer Hackintosh pula menjadi lebih panas. Sebaliknya ia berada dalam suhu yang lebih sejuk ketika ia menggunakan sistem Windows.

Maka hasil daripada penemuan tersebut beliau menyimpulkan bahawa, sistem operasi macOS menggunakan kuasa pemprosesan grafik (GPU) yang lebih tinggi, tetapi kurang kebergantungan dari unit kuasa pemprosesan komputer (CPU).

Hafeez Hackintosh
Hafeez ketika sedang menyiapkan salah satu Hackintosh yang ditempah oleh pelanggannya.

Selepas hampir 2 jam menyembang…

Hafeez berpendapat, setakat ini sistem macOS adalah yang terbaik dari segi kestabilan, kualiti grafik dan ‘sedap’ diguna.

Cuma kelemahan utamanya adalah kitaran naik taraf perkakasan Mac mengambil masa yang terlalu lama. Sebagai contoh, pengeluar komputer lain seperti Asus dan Acer telah mula menggunakan cip pemprosesan generasi terbaru.

Sebaliknya Apple pula masih lagi menjual model-model Mac yang menggunakan cip pemprosesan generasi yang lebih lama.

Malah Mac juga amat mahal berbanding jenama komputer lain.

“Harga dah lah mahal, bila rosak nak repair pun mahal, nak upgrade susah…oohh sakit jiwa”.

Fakta menarik tentang Hafeez Hasmat:-

  • Dilahirkan di Pahang, tetapi dibesarkan di Kuala Terengganu. Kedua ibu bapa pula berasal dari Johor.
  • Anak Bongsu dari 4 adik beradik.
  • Mendapat pendidikan peringkat menengah di MRSM Kuala Terengganu.
  • Menyambung pengajian A-Level Germany di PPP/ITM (kini dikenali sebagai INTEC) tetapi tidak selesai pengajian akibat kegawatan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997.
  • Selepas itu menyambung pula pengajian ke UTM Skudai, Johor dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dengan biasiswa dari JPA. Tetapi akibat daripada tidak minat dalam bidang tersebut, beliau beralih pula kepada bidang Rekabentuk Industri.
  • Pernah menetap di Serdang dan Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang sebelum berhijrah ke Shah Alam.
  • Pernah membuat pelbagai kerja seperti jadi ‘peon’,’runner, jual kereta (Naza Kia), call center, jual komputer di Low Yatt, pereka grafik, penyunting video dan lain-lain.
  • Ketika berjumpa pelanggannya bernama Baddrol Bakhtiar untuk membincangkan penggambaran perkahwinan Bad pada tahun 2015, Hafeez berkata beliau langsung tidak mengenali Bad. Beliau hanya tahu Baddrol Bakhtiar adalah pemain tengah pasukan bola sepak Kedah selepas beliau diberitahu oleh abang iparnya ketika menunjukkan video perkahwinan tersebut.
  • Berkenalan dengan isteri melalui Facebook ketika sedang main game.
  • Lebih selesa bekerja sendiri berbanding menjadi orang suruhan.
  • Dikurniakan seorang anak lelaki ‘istimewa’.
  • Model Mac kegemaran beliau adalah Macbook Pro 15″ 2015.

Kepada anda yang ingin mendapatkan servis penggambaran video atau fotografi, baik pulih dan menaik taraf perkakasan Mac atau ingin membuat projek Hackintosh, bolehlah hubungi beliau menerusi laman Facebook Hafeez Hasmat atau Hafeez.H Visual Arts, Instagram Hackintosh Penang atau hhvisualarts atau di laman Carousell/mhafeez.

P/s: Jutaan terima kasih diucapkan kepada saudara Hafeez Hasmat yang sudi meluangkan masa beliau untuk ditemu bual oleh AriffMac.

3 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here