Dikemaskini pada 4 September 2018.

AriffMac menemubual pengasas bersama Kino-i Pictures.

Pada hari Isnin minggu lepas, AriffMac telah pergi ke Kuala Lumpur untuk menemubual seorang editor filem terkenal dan berpengalaman dalam bidang penyuntingan filem.

Turut serta bersama AriffMac adalah tiga orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kami bertolak dari Tanjung Malim lebih kurang pukul 6.45 p.m. Alhamdulillah selamat tiba di lokasi pada jam 8.15p.m (setelah tersalah simpang 3 kali).

Kenapa AriffMac ingin bercerita mengenai penyuntingan filem pula? Apa kaitannya dengan komputer Mac? Untuk pengetahuan anda, komputer Mac memang akan menjadi pilihan utama para editor video kerana sistem macOS nya yang stabil serta penggunaan perisian suntingan video profesional terkenal Final Cut Pro (FCP).

Salah seorang yang terus setia dengan komputer Mac untuk melakukan kerja-kerja penyuntingan video adalah Isazaly Mohamed Isa.

Kino-I Pictures 

Temubual bersama Abang Isazaly

Isazaly Mohamed Isa atau lebih dikenali sebagai Zaly Apple dalam kalangan rakan industri telah berkecimpung dalam bidang industri kreatif  lebih 18 tahun.

Beliau merupakan seorang editor filem di syarikat Kino-i Pictures, merangkap pengarah dan pengasas bersama syarikat tersebut.

Kino-i Sdn. Bhd. mula ditubuhkan pada Ogos 2000 oleh Imri Nasution dan Isazaly Isa. Bagi mengembangkan operasi syarikat ke arah yang lebih baik, maka pada 2016, mereka telah menukarkan nama syarikat kepada Kino-i Pictures.

Akademi Filem Malaysia 

Isazaly atau AriffMac memanggil beliau sebagai Abang Isa, merupakan bekas pelajar Akademi Filem Malaysia (AFM). Untuk pengetahuan semua, AFM ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia pada tahun 30 April 1987.

AFM Memulakan pengambilan pertama pada tahun 1989 dan pengambilan kedua pada tahun 1990.

Pada 23 Mei 2005 para pelajar AFM telah diserapkan ke Akademi Seni Malaysia yang kemudian dikenali sebagai Akademi Seni dan Warisan (ASWARA).  Mutakhir, ASWARA telah menjadi Universiti P. Ramlee.

Abang Isa memulakan kerjayanya dari peringkat bawah. Minat yang mendalam dalam bidang perfileman menyebabkan beliau melakukan pelbagai bidang tugas dalam produksi filem, drama tv, iklan dan muzik video.

Antaranya adalah beliau pernah bertugas sebagai Prop Master, Pengarah Seni sehinggalah ke Pembantu Pengarah.

Menjadi Editor

Temubual bersama Abang Isazaly

Setelah mencuba pelbagai tugas dalam produksi, beliau merasakan jiwanya lebih dekat kepada bidang pos produksi iaitu sebagai editor video. Beliau telah menjadi editor video lebih daripada 13 tahun.

Beliau telah menyunting pelbagai telemovie bagi tayangan tv seperti Menyamar Sutradara, Multimedia Super Cintu,  Chulia Street dan banyak lagi.

Beliau juga banyak membantu rakan-rakan pembikin filem pendek bebas dalam kerja-kerja penyuntingan. Filem cereka pertama suntingan beliau adalah filem Susuk (2007).

Terbaru, beliau menyunting sebuah filem cereka bergenre drama yang memaparkan kehidupan keluarga yang mempunyai anak autisme.

Filem yang bertajuk Redha ini sangat menarik kerana mempunyai tema yang jarang disentuh oleh para produser di Malaysia.

Filem Redha
Filem Redha telah memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara.

Penyuntingan Filem Cereka

Tahun 2016 ini merupakan tahun yang beliau nanti-nantikan. Ini kerana terdapat dua buah filem hasil suntingan beliau akan ditayangkan pada tahun ini.

Filem Redha akan mula ditayangkan pada 14 April ini dan filem 7 Dimensi Alif yang bakal ditayangkan pada bulan September akan datang.

Temubual bersama Abang Isazaly

Menurut Abang Isa, beliau memberikan seluruh jiwanya sewaktu melakukan kerja-kerja penyuntingan kedua-dua buah filem tersebut.

“Sebagai editor, saya perlu menjiwai dahulu sesebuah filem yang disunting.  Jika saya sebagai editor tidak merasai emosi filem yang saya sendiri edit, bagaimana penonton untuk merasainya. Sebagai editor saya bertanggungjawab memberikan nyawa pada filem tersebut,” Abang Isa.

Sudah tentu apa yang dinyatakan oleh Abang Isa ini merupakan tips sangat berguna kepada para penyunting muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia penyuntingan filem.

Sesuai dengan pengalaman beliau yang telah menggunakan perisian Final Cut Pro bagi kerja-kerja penyuntingan, ariffmac ingin mengetahui pengalaman Abang Isa menggunakan perisian tersebut dalam filem Redha.

Final Cut Pro X

Temubual bersama Abang Isazaly

Di Kino-i Pictures, perisian suntingan Final Cut Pro X memang menjadi pilihan utama. Abang Isa sendiri telah mula menggunakan perisian Final Cut Pro sejak 2003 lagi.

Bermula daripada Final Cut Pro 4, perisian tersebut telah berkembang sehingga ke versi Final Cut Pro 7. Ia merupakan perisian suntingan video popular yang digunakan oleh editor filem profesional  seluruh dunia.

Final Cut Pro mengalami perubahan mendadak pada 2011 apabila syarikat Apple telah merevolusikan perisian tersebut.

Apple telah memberikan nama perisian tersebut sebagai Final Cut Pro X (FCPX). Revolusi yang dilakukan oleh Apple menyebabkan pelbagai pendapat timbul.

Ada editor yang ragu-ragu dengan apa yang telah dilakukan oleh Apple terutama melibatkan antaramukanya yang terlalu ringkas. Namun tidak kepada Abang Isa.

Sebagai editor berpengalaman, beliau tahu revolusi yang dilakukan oleh Apple akan mengubah cara editor melakukan penyuntingan pada masa hadapan.

Justeru beliau tetap setia menggunakan perisian dari FCPX yang dihasilkan oleh syarikat Apple tersebut.

Temubual bersama Abang Isazaly

“Ramai editor beranggapan FCPX ni macam mainan. Namun pada saya itu sangat baik kerana kita enjoy bermain dalam bekerja,” kata Abang Isa positif dengan apa yang dilakukan oleh syarikat Apple.

Katanya lagi, FCPX amat mudah digunakan. Ia tidak rumit dan mempercepatkan proses kerjanya. Antaranya beliau tidak lagi perlu melakukan setting tertentu setiap kali hendak menyunting sesebuah filem. Semuanya telah dipermudahkan oleh Apple.

“Editor adalah penyampai cerita, bukan engineer untuk melakukan setting tertentu setiap kali perisian hendak  digunakan,” tegasnya.

Workflow penyuntingan filem Redha

Penggambaran filem Redha dijalankan di Pulau Redang. Pada setiap minggu, data raw rakaman dari kamera ARRI Alexa  bersaiz 1TB akan dihantar ke Kino-i Pictures di Kuala Lumpur.

Menurut abang Isa, jumlah saiz keseluruhan data raw rakaman filem Redha adalah 40TB, bersamaan dengan 45 jam masa rakaman.

Data rakaman yang diterima akan ditukar kepada format H.264 bagi setiap shot filem tersebut. Kemudian pembantu editor akan membuat senarai bagi syot-syot tersebut. Ini bagi memudahkan proses preview bagi setiap syot dilakukan.

Saiz asal visual filem Redha yang diambil menggunakan kamera ARRI Alexa adalah bersaiz 3.5k. Tetapi proses suntingannya menggunakan format ProRes 422 LT.

Temubual bersama Abang Isazaly

Setelah siap disunting, data tersebut dihantar kepada syarikat Imagica South East Asia Sdn. Bhd yang terletak di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Nusajaya, Johor Darul Takzim.

Kini selain Bangkok dan India, syarikat produksi filem di Malaysia mempunyai banyak pilihan untuk menghantar filem mereka bagi proses akhir sebelum ditukar kepada format Digital Cinema Package (DCP).

Imagica akan melakukan proses akhir seperti proses penggredan warna, vfx dan menggabungkan (mixing) keseluruhan data raw visual dan audio.

Akhir sekali Imagica bertanggungjawab menghasilkan produk akhir iaitu DCP (Digital Cinema Package) untuk ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Perkakasan dan perisian yang digunakan

Untuk setiap projek yang dibuat, Abang Isa menggunakan perkakasan komputer iMac 27″ dengan 32GB RAM bersama Mac Pro Tower.

Bagi membuat suntingan pula, beliau lebih selesa menggunakan Wacom Intuos Pro bersama Apple Keyboard.

Temubual bersama Abang Isazaly

Untuk paparan visual pula, selain skrin iMac 27″, beliau menyambungkan paparan visual ke Apple Cinema Display 23″ dan Panasonic HDTV 42″ dengan menggunakan perkakasan third party dari Blackmagic Intensity Extreme.

Malah beliau turut menggunakan Macbook Pro 17″ (lejen ni) dan iPad untuk membuat suntingan video secara jarak jauh (remote) sekiranya keadaan memerlukan.

Bagi perisian pula, selain menggunakan FCPX, Abang Isa turut menggunakan beberapa perisian tambahan lain seperti Apple Motion dan Compressor.

Selain itu, beliau juga menggunakan beberapa aplikasi pihak ketiga seperti Splashtop RemoteX2ProLE Audio Convert dan XtoCC (sebelum ini dikenali sebagai Xto7 untuk Final Cut Pro).

Sebenarnya banyak lagi yang ingin ariffmac kongsikan. Pengalaman Abang Isa dan syarikatnya dalam bidang penyuntingan ini memang menarik.

Apatah lagi apabila syarikat tersebut menggunakan komputer dan perisian daripada syarikat Apple.

Dilain masa, Insya’Allah AriffMac akan menceritakan lagi bagaimana gabungan perisian yang dihasilkan oleh Apple ini secara lebih terperinci, mampu menghasilkan hasil penyuntingan yang mudah dan berkualiti.

Fakta menarik tentang Isazaly Mohamed Isa

  • Dikenali sebagai Zaly Apple
  • Berasal dari Singapura
  • Pernah gagal dalam pelajaran sewaktu belajar di Kolej (ini menunjukkan kegagalan tidak semestinya kita harus mematahkan semangat kita untuk terus berusaha dan berjaya)
  • Rakan sekelas dengan pelakon Hasnul Rahmat sejak dari Singapura hingga ke Akademi Filem Negara Malaysia
  • Amat meminati pengarah filem Aziz M.Osman sejak kecil dan mula bekerjasama sewaktu pembikinan drama PUTERI yang dibintangi Nora Danish
  • Pernah berkhidmat sebagai tentera selama 2 tahun dan menjadi mekanik
  • Merupakan pakar bertauliah (Apple Certified) bagi perisian Final Cut Pro sejak 2003 sehinggalah sekarang. Terbaru pada bulan Jun 2017 yang lalu, beliau telah berjaya memperoleh sijil jurulatih bertauliah dari Blackmagic design bagi aplikasi Davinci Resolve 14.
  • Merupakan penasihat dan pelatih kursus pos produksi Finas (Bahagian Latihan)
  • Terbaru beliau dilantik sebagai salah seorang Penilai Verifikasi Portfolio Profesionalisme, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
  • Turut mengajar di UiTM (Fakulti Filem, Teater  & Animasi), Sunway College (Dept. Media & Performing Arts) dan MMU Johor (Fakulty of Cinematic Arts).

P/s: Ucapan jutaan terima kasih kepada Asyraf (driver), Man (videographer) dan Wan (photographer).

Juga kepada Prof. Madya Dr. Zairul Anuar Md. Dawam dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang banyak membantu AriffMac dalam penulisan artikel ini.

Tak lupa kepada abang Isazaly yang sudi meluangkan masa unttuk ditemubual dan sikit pun tak kedekut ilmunya. Jutaan terima kasih diucapkan. 🙂

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here