Mat iboff

Berkenalan dengan team adik-beradik yang mempunyai kemahiran tinggi dalam membaik pulih papan litar utama komputer khususnya Apple Macintosh.

Dalam bulan Disember tahun lepas, AriffMac telah bertemu dan berbual dengan seorang individu yang amat mahir dalam membaik pulih papan litar utama komputer Apple Macintosh.

Kebetulan lokasi pusat operasi beliau yang terletak di Dengkil dekat sahaja dengan Sungai Ramal Dalam (balik kampung mentua jap masa tu), jadi AriffMac pun mengambil peluang tersebut untuk menemu bual beliau.

Ahmad bin Yusoff

Ahmad bin Yusoff atau lebih dikenali dengan nama Mat iBoff merupakan pemilik sebuah syarikat kecil yang mempunyai ilmu mendalam tentang selok-belok Mac serta berkemahiran tinggi dalam membaik pulih papan litar utama komputer Apple Macintosh.

Di iBoff Repair & Calibration Centre beliau turut dibantu oleh 3 orang pekerja yang terdiri daripada adik-beradik beliau sendiri iaitu Amirul Husaini (18 tahun), Abdullah (14 tahun) dan Aisyah (Isteri).

25 Tahun

Mat iBoff sebenarnya seorang pemuda yang baru sahaja berusia 25 tahun. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia telah selesai pengajiannya pada 2016 dahulu.

Ahmad memberitahu, beliau berpengalaman dalam membaik pulih papan litar utama komputer hampir 8 tahun.

Mat iboff 6

Sejak zaman sekolah menengah dan belajar di universiti lagi, beliau sudah pun mula menjalankan servis baik pulih komputer secara sambilan dengan sendiri.

Pada peringkat awalnya, beliau membaik pulih pelbagai jenis papan litar utama komputer yang terdiri daripada pelbagai jenama atas permintaan rakan-rakan dan kenalan yang mahukan beliau membaik pulih komputer mereka.

Daripada situlah, beliau mengumpul pengalaman dengan melihat budaya kerja pelbagai pusat servis komputer dan berkenalan dengan ramai pembekal alat-alat ganti komputer.

Mac pertama

Ahmad memberitahu, sebelum ini beliau belum pernah pun menggunakan komputer dari Apple. Sebab mahal sangat katanya.

Tetapi disebabkan keinginan untuk memiliki sebuah Mac, beliau akhirnya membeli komputer Apple pertama beliau iaitu sebuah Mac terpakai model Macbook Pro 15″ 2011 yang dibeli pada harga RM1200 dari laman mudah.com.

Menjadikan lebih menarik, Mac yang dibelinya itu adalah sebuah Mac yang telah rosak.

Tetapi dengan usaha beliau menerusi pembacaan dari pebagai forum berkaitan dengan Mac, beliau akhirnya telah berjaya mengenal pasti kerosakan Mac tersebut yang berkait dengan isu GPU.

“Sebenarnya Macbook ni, motherboard dia ada persamaan dengan laptop yang lain…banyak persamaan”

Lalu dengan kemahiran dan pengalaman baik pulih papan litar komputer yang ada sebelum ini berserta sedikit ilmu Mac yang dipelajari secara singkat, beliau telah berjaya membaik pulih sendiri Macbook Pro tersebut.

Jadi bermula dari situlah beliau berkata…

“ummm benda ni boleh pergi ni…”

iBoff – Reverse engineering at its best

Ahmad menjelaskan, syarikat yang dinamakan iBoff ini sebenarnya telah dimulakan sebelum beliau menamatkan pengajian di universiti lagi iaitu dalam tahun 2016.

Mat iboff 5

Apabila ditanya disebalik makna iBoff, beliau berkata iBoff itu adalah singkatan kepada Ibnu Yusoff, merujuk kepada nama bapa beliau iaitu Yusoff.

Syarikat beliau ini hanya menyediakan servis dan baik pulih khusus untuk papan litar utama komputer-komputer Apple Macintosh sahaja seperti iMac, Mac mini, Macbook Pro dan lain-lain.

“Kita orang repair motherboard memang totally on knowledge, bukan main terjah, tekan-tekan ke apa…”

Jadi kenapa hanya khusus kepada komputer Apple Macintosh sahaja?

Mac lebih senang repair

Menurut Ahmad, berdasarkan pengalaman beliau yang telah membaik pulih pelbagai jenis papan litar komputer sebelum ini, beliau menyimpulkan…

“Laptop biasa lebih susah untuk di repair berbanding Macbook…”

Ini kerana menurut beliau, hanya papan litar utama yang dibangunkan Apple sahaja yang betul-betul lengkap dan sangat sistematik.

Beliau menjelaskan, papan litar komputer Apple dibangunkan oleh jurutera yang sama menggunakan format yang sama.

Ia dibangunkan secara dalaman oleh jurutera dari Apple sendiri. Sekaligus menjadikan skematik papan litar komputer Apple lebih mudah difahami.

Tidak kiralah model Macintosh yang mana sekalipun mahupun tahun keluarannya, skematik papan litar komputer Apple adalah tetap sama.

Malah beliau menambah, kualiti buatan papan litar komputer Apple juga adalah jauh lebih baik berbanding papan litar komputer jenama-jenama yang lain.

“Memang ada yang Apple lakukan bagi menjimatkan kos sehingga menyebabkan produk mereka tu mudah rosak, tapi masih ada benda yang Apple cuba buat the best, sebagai contoh motherboard Mac”

logic board macbook pro
Papan litar utama (logic board) yang dibangunkan Apple adalah lebih tebal berbanding motherboard yang terdapat di dalam komputer jenama lain. Kredit foto MacBook Pro 15″ Retina Mid 2015: iFixit

Disebabkan papan litar Mac lebih tebal dan berkualiti, sekaligus menjadikan ia lebih senang untuk dibaik pulih.

Servis

Ahmad menjelaskan, beliau mengkategorikan tahap kerosakan sesebuah Mac itu kepada tiga tahap iaitu minor, medium dan major.

Sebagai contoh, kerosakan minor adalah seperti kerosakan kapasitor yang boleh diganti dan disiapkan kurang dari sejam sahaja. Jadi pemilik boleh menunggu dan melihat sendiri proses baik pulih tersebut.

BGA rework Jovy RE8500
Mesin BGA rework Jovy RE8500 ini digunakan untuk mencabut keluar CPU dari logic board Mac. Ia adalah antara peralatan utama yang ada di iBoff Repair & Calibration Centre.

Tetapi untuk membaik pulih kes-kes berat yang melibatkan penelitian lebih teliti seperti kerosakan cip grafik (GPU), cip pemprosesan utama (CPU) atau lain-lain, ia biasanya melibatkan beberapa hari dan mungkin boleh mengambil masa sehingga beberapa minggu.

“Setiap caj servis yang saya kenakan tu, memang saya mengharapkan masalah motherboard tu baik terus, pelanggan takkan return semula”.

Mat iboff 3
Ahmad sedang memeriksa papan litar salah sebuah Macbook Pro pelanggannya.

Nasihat kepada pengguna Mac

Menurut Ahmad, kebiasaannya (selain daripada salah Apple sendiri) punca utama kepada berlakunya kerosakan sesebuah Mac adalah akibat daripada salah pengguna itu sendiri.

Mat iboff 4
Ahmad tidak lokek dalam berkongsi ilmu dengan menerangkan permasalahan sesebuah Mac kepada pelanggannya.

Sebagai contoh, antara isu yang kerap dijumpai adalah kapasitor meletup. Beliau menjelaskan terdapat beberapa punca mengapa sesebuah kapasitor di dalam Mac meletup.

  • Air

Salah satu punca yang paling popular adalah air. Beliau menjelaskan, setitik air yang terkena pada papan litar utama Mac sudah cukup untuk merosakkan kapasitor dan komponen lain yang terdapat di atas papan litar tersebut.

“Setitik air adalah besar bagi motherboard Mac”

Punca air pula boleh datang daripada salah sendiri yang tertumpahkan air ke atas Mac ataupun meletakkan Mac di tempat yang punyai kelembapan terlampau sehingga boleh menjejaskan papan litar Mac tersebut.

Selain itu menurut Ahmad, pengguna Mac yang suka meletakkan Mac mereka terlalu hampir dengan kedudukan penghawa dingin juga antara sebab utama Mac rosak.

Ini kerana tanpa disedari, mereka sebenarnya meletakkan Mac mereka mudah terdedah kepada air yang menitik daripada penghawa dingin tersebut.

  • Guna pengecas kuasa tiruan

Lagi satu punca utama kerosakan papan litar utama Mac adalah pengguna kononnya ingin berjimat sedikit wang mereka dengan membeli pengecas kuasa yang tidak original dari Apple.

Ringkasnya, belilah pengecas kuasa yang original dari Apple sahaja. Mahal tapi berbaloi. Jangan sesekali beli yang OEM.

Selepas lebih 2 jam menyembang…

Elok sahaja selesai menemu bual Ahmad iBoff, pintu pejabat beliau diketuk. Tetiba muncul wajah yang memang AriffMac kenal…

“Aik, terjumpa pula kita kat sini” ketawa tuan Haji Ismail Ahmad.

Rupanya beliau datang menemani kawannya untuk menghantar Macbook Pro yang rosak untuk dibaik pulih di sini.

Mat iboff 2
Ahmad iBoff sedang menerangkan kerosakan kapasitor MBP kepada pemilik.

Selepas selesai membaik pulih Macbook Pro tersebut, kami pun bersama-sama menunaikan solat di Masjid berhampiran dan makan tengahari (Terima kasih banyak tuan Haji belanja kami makan).

Info menarik tentang Mat iBoff

  • Kedua ibu bapa berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Mat iBoff membesar di Selangor tapi beliau memegang Kad Pengenalan dari Negeri Sarawak.
  • Beliau adalah anak ketiga daripada 7 adik-beradik.
  • Bermain dengan komputer sejak dari tadika lagi.
  • Bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana. Kemudian masuk sekolah berasrama penuh, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11, Shah Alam, Selangor. Tetapi pada Tingkatan 4, kembali ke sekolah biasa berdekatan rumah akibat masalah kesihatan.
  • Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Agricultural and Biosystems Engineering dari UPM.
  • Punyai pengalaman kerja dalam industri minyak dan gas serta memiliki lesen sah kejuruteraan dalam bidang tersebut.
  • Telah mendirikan rumah tangga pada Februari 2018.
  • Video yang dihasilkan team iBoff berkaitan isu “flexgate” Macbook Pro telah turut dimuatkan di dalam video yang dihasilkan iFixit dari Amerika.
  • Mac kedua beliau adalah model Macbook Air 11″ keluaran 2013, Mac terpakai dan rosak yang dibeli hanya pada harga RM500 sahaja. Rupa-rupanya SSD MBA sahaja yang rosak. Masih diguna sehingga ke hari ini.
  • Turut memiliki Macbook Pro 15″ keluaran 2012 dan Macbook Pro 15″ Retina 2014.
  • Antara peralatan utama yang ada di iBoff Repair & Calibration Centre adalah mikroskop AmScope, Solder Rework Station, BGA Rework Jovy RE8500 dan oscilloscope TDS2012.
  • Dalam perancangan untuk menambah sebuah lagi mikroskop.

P/s: Jutaan terima kasih diucapkan kepada Ahmad dan adik-adik beliau yang sudi meluangkan masa untuk ditemu bual oleh AriffMac.

Sekiranya anda ingin menghantar Mac anda untuk diservis atau dibaik pulih, anda boleh hubungi dahulu Mat iBoff di laman FB iBoff Mat atau terus saja hubungi beliau menerusi WhatsApp 60133469275.

Semoga Mat iBoff terus maju jaya dan memberikan perkhidmatan terbaik, dipercayai dan diyakini pengguna Mac.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here