AriffMac menemubual pemilik akaun Facebook Group Mac User.

Pada tahun lepas dalam bulan November yang lalu (sekarang baru sempat nak menaip), AriffMac berkesempatan menemubual pemilik akaun Facebook Group Mac User.

Memang dah lama teringin nak menemubual beliau sebab kemahiran, kepakaran dan pengetahuan beliau berkaitan dengan komputer Apple Macintosh memang mengkagumkan.

Alhamdulillah akhirnya berjaya juga menemubual beliau di pejabatnya di Solaris Mont Kiara yang turut disertai 3 orang pelajar dari UPSI. Beliau yang AriffMac maksudkan adalah Tuan Haji Ismail Ahmad.

Tuan Haji Ismail Ahmad

Ismail Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan nama Tuan Haji adalah berasal dari Segamat, Johor. Beliau yang kini berumur 56 tahun, beristeri dan mempunyai anak  seramai 2 orang (dah besar panjang) serta cucu, menetap di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan (berdekatan dengan Sepang International Circuit).

Beliau merupakan pemilik bersama syarikat pengiklanan DMS Advertising Services Sdn. Bhd. yang terletak di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur.

“Seumur hidup saya ni, cuma ada dua jawatan…tentera dan advertising“.

Kerjaya

temubual-bersama-tuan-haji-ismail-ahmad-3

Selepas tamat MCE pada tahun 1977, beliau menyertai angkatan tentera pada umur 18 tahun dan berkhidmat hampir 9 tahun di dalam tentera. Beliau menamatkan perkhidmatan di dalam tentera dengan berpangkat kapten.

Selepas tamat berkhidmat sebagai tentera, beliau menceburi pula bidang pengiklanan dengan menyertai kenalannya yang membuka sebuah syarikat pengiklanan pada tahun 1988 di Johor Bharu.

Tetapi tidak lama kemudian syarikat tersebut dijual kepada sebuah syarikat dari Kuala Lumpur, tapi Tuan Haji masih tetap bekerja dengan syarikat tersebut yang dikenali sebagai Hunter Advertising.

Setelah bekerja di syarikat pengiklanan tersebut selama 12 tahun, beliau bersama abang iparnya serta seorang rakan membuka pula syarikat pengiklanan sendiri yang dikenali sebagai DMS Advertising Services Sdn. Bhd. pada tahun 2002 di Damansara Jaya (sebelum berpindah ke lokasi sekarang pada tahun 2009).

Minat yang mendalam

Sewaktu memasuki ke pejabat Tuan Haji Ismail Ahmad, AriffMac dapati pejabat beliau dipenuhi dengan pelbagai jenis komputer Apple Macintosh. Memanglah namanya pun syarikat buat iklan.

Bidang pengikalan dan Mac memang ibarat irama dan lagu, jadi tak hairanlah di pejabat beliau penuh dengan komputer Mac. Namun begitu apa yang AriffMac dapati adalah Tuan Haji Ismail bukan sekadar seorang pengguna Mac yang biasa.

Beliau amat meminati Mac sehinggakan beliau menjadikan Mac itu sebagai satu hobi istimewa.

Facebook Group Mac User

Cetusan idea kepada permulaan tertubuhnya Facebook Group Mac User adalah apabila beliau membantu rakannya Idris Mazlan membeli iMac dari Machines, Kuala Lumpur.

Selepas dari itu, rakan beliau tersebut ingin membuka sebuah grup di Facebook untuk berkongsi maklumat tentang Mac dan mengajak Tuan Haji membantu dalam grup tersebut. Bermula dari hanya beberapa orang sahaja yang menyertai Facebook Group Mac User, kini setelah hampir 4 tahun kewujudannya ia telah disertai lebih daripada 13 ribu ahli.

Ahli-ahli di dalam grup ini bukan hanya dari dalam Malaysia sahaja tetapi juga dari luar negara.

temubual-bersama-tuan-haji-ismail-ahmad-2

Di dalam grup tersebut bukan hanya sekadar berkongsi tips, pengalaman dan cerita-cerita yang berkaitan dengan Mac. Tetapi juga para ahlinya boleh mengiklankan produk-produk Apple yang ingin dijual, bertukar (swap) komputer, menaik taraf perkakasan Mac dan banyak lagi.

Selain itu, para ahli grup juga boleh bertanyakan soalan-soalan yang mereka ingin tahu berkaitan pelbagai perkara seperti kerosakan, cara membaik pulih, kemusykilan dan banyak lagi tentang Mac.

Orang yang setia, tanpa jemu dan sabar melayan para ahli grup yang memerlukan bantuan terhadap Mac mereka sudah tentulah Tuan Haji Ismail Ahmad.

Namun begitu, sering kali terdapat soalan-soalan yang ditanya sebenarnya sudah banyak kali diberikan, diterangkan dan dibincangkan jawapan dan penyelesaiannya dalam grup tersebut.

Tetapi masih ramai yang bertanyakan soalan-soalan yang sama. Jadi, perkara sebegini amat menjengkelkan dan membuatkan Tuan Haji malas nak melayan.

“Dah bertahun-tahun buat ni, kengkadang saya pun hairan dengan budak-budak ni semua…tak reti membaca eh?”.

Membaca

Ilmu yang Tuan Haji Ismail ada tentang Mac amat mengkagumkan AriffMac. Mana tidaknya, pengamatan yang dibuat terhadap setiap persoalan yang tanya di dalam grup tersebut, hampir kesemuanya dapat dijawab, diterangkan atau diberikan penyelesaiannya.

Jadi apabila ditanya dari mana datangnya kemahiran dan pengetahuan yang mendalam beliau tentang Mac, jawapan yang diberikan pendek je “Membaca!”.

 “Pantang larang saya adalah tak membaca!” Tuan Haji Ismail Ahmad.

“…nak telefon cangih-canggih belaka…4G, apa tok G lagi, tapi maklumat dunia di hujung jari tak pandai nak dicari. Itu pun tak boleh buat” keluh beliau.

Nasihat

Sebelum AriffMac menamatkan temubual tersebut (setelah hampir 2 jam lebih menemubual Tuan Haji, masa tu dah pukul 6 petang), sempat beliau nasihatkan, “Nak rangsangkan otak berfikir…banyakkan membaca, membaca dan membaca!”.

Fakta menarik tentang Tuan Haji Ismail Ahmad

  • Beliau mula menggunakan Mac pada tahun 1995 iaitu jenis Power Macintosh 6300 yang menggunakan perisian Mac OS 9.1. Menurut beliau, pada masa itu harga sebatang RAM 16MB (bukan 16GB, 1GB pun takde lagi) berharga RM 5000!
  • Sejak tahun 1990an lagi sudah mula menggunakan perisian grafik Quark Express v3.11, Adobe Illustrator dan Photoshop. (Kini hanya menggunakan InDesign untuk penerbitan)
  • iMac generasi pertama berwarna Pink yang berharga RM6000 lebih merupakan komputer Mac kedua beliau
  • Cucu sulung berada di New Zealand
  • Di sebelah malamnya beliau menjadi sukarelawan tukang jaga Dewan Komuniti Pusat Islam Bandar Enstek
  • Pendidikan peringkat MCE (Malaysia Certificate of Education) Gred 3 sahaja (1977). Kata Tuan Haji cukup-cukp makan je.
  • Mac yang paling disukai adalah MacBook Pro 15″ keluaran 2012, iMac keluaran 2011 dan Mac Pro keluaran 2012.

P/s: Jutaan terima kasih kepada Tuan Haji Ismail Ahmad yang sudi meluangkan masa berharga beliau untuk ditemubual serta nasihat-nasihat yang diberikan. InsyaAllah ada rezeki kita berjumpa lagi.

Tak lupa juga kepada pelajar saya Asyraf (driver), Man Zakaria (videographer) dan Wan Bishrul (photographer) yang turut sama membantu dalam pembikinan artikel ini. Terima kasih.

10 COMMENTS

  1. salam,dalam malaysia ni ada ke orang pandai bina system hackintosh dan jual kepada awam. berminat nak pkai mac tapi harga belum mampu milik lagi

  2. […] ini adalah tulisan Tuan Haji Ismail Ahmad yang telah dikongsikan beliau di Group Facebook Mac User. Penerbitan artikel ini di AriffMac.com […]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here