Komputer Apple Macintosh

Dikemaskini pada 16 Oktober 2018.

Bagi anda yang pertama kali hendak membeli komputer Apple Macintosh.

Memilih komputer Mac memang sedikit mengelirukan terutamanya kepada anda yang pertama kali hendak membeli dan menggunakan komputer Apple Macintosh.

Sekiranya anda sebelum ini hanya pernah menggunakan Windows PC, pasti tertanya-tanya kategori komputer Mac manakah yang sesuai dengan aktiviti harian anda.

Jadi Ariffmac akan cuba terangkan kategori Mac yang ada dan yang sesuai dengan anda berdasarkan beberapa kriteria supaya memudahkan anda untuk membuat keputusan.

1. Keluarga Macbook

Kategori yang pertama adalah keluarga Macbook (kalau PC dipanggil notebook, mudah alih). Terdapat 3 jenis Macbook yang boleh anda pilih iaitu Macbook, Macbook Air dan Macbook Pro.

Keluarga Macbook merupakan komputer yang menjadi pilihan utama kepada para peminat Mac. Ini kerana ia bukan sahaja kecil, ringan, dan nipis tetapi juga ia sangat berkuasa.

  • Macbook (Retina 12″)

macbook rose gold
Apple telah perkenalkan warna terbaru, Rose Gold untuk Macbook pada April 2016.

Macbook merupakan komputer Mac yang telah diperkenalkan Apple Inc. pada April 2015. Kali terakhir ia dikemaskini perkakasannya adalah pada Jun 2017 dan masih dijual sehingga kini.

Terdapat 2 model asas yang boleh dipilih dengan harga bermula dari RM 5,902.00 dan RM7,065.00.

Berikut adalah spesifikasi Macbook:-

  • 1.2GHz dual-core 7th-generation Intel Core m3 processor atau 1.3GHz dual-core 7th-generation Intel Core i5 processor
  • RAM 8GB 1866MHz LPDDR3 memory
  • Storan 256GB atau 512 GB SSD
  • Kad grafik Intel HD Graphics 615
  • Skrin Retina bersaiz 12″.

Macbook ini amat sesuai kepada anda yang inginkan sebuah komputer yang nipis, ringan, mudah dibawa, berkuasa dan yang paling penting adalah baterinya yang mampu beroperasi dalam tempoh yang lama.

Kelebihan

Macbook hanyalah seberat 920 gram sahaja dengan ketebalan 13.1mm. Tetapi menurut Apple, Macbook mampu beroperasi lebih daripada 10 jam (bergantung kepada perisian dan aktiviti yang anda gunakan).

Jadi ia amat sesuai bagi anda yang suka melancong, melakukan tugasan menaip dan melayari internet (tugas-tugas ringan).

Namun begitu, ia tetap mampu mengoperasikan perisian-perisian profesional seperti Adobe Photoshop untuk suntingan/manipulasi foto dan iMovie bagi suntingan video (jangan edit foto bersaiz terlampau besar seperti RAW dan video 4K sudah).

Kelemahan

Jika anda membeli Macbook, anda perlu bersedia dengan bajet tambahan untuk membeli beberapa aksesori lain bagi sambungan peranti yang anda biasa gunakan.

Ini kerana Macbook hanya ada 1 sambungan peranti USB-C sahaja untuk anda mengecas dan menyambungkan peranti lain ke Macbook serta 1 sambunagn kabel audio fon kepala 3.5mm.

Untuk sambungkannya bersama dengan perkakasan lain seperti kabel HDMI, VGA projektor, USB dan lain-lain, anda perlulah membeli aksesori tambahan bagi Macbook tersebut.

Info spesifikasi penuh Macbook ini boleh didapati di laman muka Macbook Apple Store.

(Secara peribadi, elakkan dari membeli model Macbook ini. Tak berbaloi).

  • Macbook Air (MBA) 11″ dan 13″

MBA

Kini hanya terdapat model Macbook Air 13″ sahaja yang dijual oleh Apple yang harganya bermula dari RM4,142.00.

Tetapi anda masih boleh membeli Macbook Air 11″ dari pusat jualan bertauliah Apple pada harga bermula dari RM2999.00 (selagi stok masih ada).

Kelebihan

MBA amat pantas bagi proses read/write data dan kuasa pemprosesan adalah lebih tinggi (MBA dikuasakan oleh 1.8GHz dual-core Intel Core i5) berbanding Macbook 12″.

Amat sesuai kepada anda yang suka menyunting gambar dan lain-lain. Selain itu, ia masih punyai sambungan peranti bagi USB 3.0 dan Thunderbolt 2 yang pantas, sambungan fon kepala dan slot kad SDXC. Malah bateri MBA mampu bertahan sehingga 12 jam (bagi MBA 13″)

Kelemahan

Walaupun MBA adalah sebuah komputer yang berkuasa, tapi ia tidak sesuai bagi anda yang sering membuat kerja-kerja berat seperti suntingan video/audio berdefinisi tinggi.

Ini kerana ia menggunakan kad grafik yang sudah berusia dan paparan skrinnya bukanlah jenis Retina yang lebih cantik dan jelas paparannya.

Sila layari laman muka Macbook Air bagi mendapatkan spesifikasi penuhnya.

(Pada pendapat AriffMac, kalau boleh elakkan dari membeli Macbook Air sebab  masih menggunakan generasi cip pemprosesan yang sudah lama).

  • Macbook Pro (MBP) Retina 13″, 15″ dan Macbook Pro 13″, 15″ Touch Bar

Macbook Pro merupakan komputer riba yang paling popular dikalangan pengguna komputer Mac.

Ketika ini, terdapat 3 model Macbook Pro yang dijual oleh Apple iaitu Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar, Macbook Pro 13″ dengan Touch Bar dan Touch ID serta Macbook Pro 15″ dengan Touch Bar dan Touch ID.

Kelebihan

MacBook Pro Touch Bar
Macbook Pro ini dilengkapi dengan panel Touch Bar dan ciri keselamatan menggunakan cap jari.

Keupayaannya melaksanakan kerja-kerja suntingan video, audio dan foto yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi tidak perlu dipertikaikan lagi.

MBP dapat memproses kesemua tugas-tugas tersebut dengan sangat pantas dan stabil.

Sekaligus menjadikannya pilihan utama para profesional khususnya dalam bidang industri kreatif.

Penggunaan perisian-perisian profesional seperti Final Cut Pro X, Adobe Creative Cloud dan lain-lain tidak menjadi masalah kepada MBP. Malah baterinya juga mampu bertahan lebih daripada 9 jam (bergantung kepada aplikasi yang digunakan).

Kelemahan

Kelemahan utama Macbook Pro terkini adalah harganya yang amat mahal. Harga Macbook Pro adalah bermula dari RM5,932.00 (MBP 13″) dan boleh dikonfigurasikan perkakasannya yang boleh mencecah sehingga hampir RM30,000 (MBP 15″).

Selain itu, anda juga terpaksa mengeluarkan duit lebih bagi membeli aksesori sambungan bagi peranti lain kerana MBP model terbaru ini hanya dilengkapi dengan sambungan Thunderbolt 3 aka USB Type C berkelajuan tinggi dan sambungan fon kepala sahaja.

Anda boleh layari laman muka Macbook Pro untuk ketahui lebih lanjut spesifikasi penuh model Macbook Pro.

(Jika anda inginkan komputer riba berkuasa dari Apple, Macbook Pro adalah pilihannya. Walaubagaimanapun, anda mungkin ingin tahu lebih lanjut kekurangan dan kelebihan Macbook Pro ini.)

2. Keluarga Desktop Mac

Terdapat 3 jenis Mac dalam kategori desktop komputer Apple Macintosh iaitu iMac, Mac Mini dan Mac Pro.

  • iMac dan iMac Pro

iMac
iMac 21.5″ dengan paparan skrin 4K dan iMac 27″ dengan paparan skrin 5K.

iMac merupakan kategori paling popular bagi desktop komputer Apple Macintosh.

Kini terdapat 4 pilihan iMac yang boleh anda pilih iaitu iMac 21.5″ non Retina (resolusi skrin 1920×1080) berharga dari RM5053.00, 21.5″ Retina dengan saiz paparan skrin 4K (4096×2304) berharga dari RM5968.00, iMac 27″ Retina dengan saiz paparan skrin 5K (5120×2880) berharga dari RM7951.00 dan yang terbaru iMac Pro, komputer desktop Mac yang paling berkuasa pernah Apple hasilkan berhharga dari RM20.855.

Kelebihan

iMac amat popular digunakan di dalam studio-studio gambar, syarikat-syarikat produksi video mahupun pengguna biasa. Ia sememangnya komputer berkuasa yang amat sesuai bagi segala tugasan.

Sambungan peranti juga tiada masalah kerana terdapat sambungan bagi USB 3, Thunderbolt 3 (USB-C), sambungan kabel LAN dan slot kad SDXC. Malah Ruang storan juga adalah besar, bermula dari 1TB dan ia boleh dinaik taraf.

Kelemahan

imac pro
iMac Pro diperkenalkan pada Jun 2017 lalu.

Jika anda inginkan pilihan kad grafik yang lebih berkuasa dan RAM yang lebih besar (maksimum 32GB), anda perlu dapatkan iMac 27″.

Jika anda inginkan iMac Pro pula, anda terpaksa membelanjakan wang yang amat besar sebab harga permulaan iMac Pro adalah dari RM20,855.00 dan ia boleh dikonfigurasikan sehingga menjangkau RM60,000!

Sila layari laman muka iMac dan iMac Pro bagi mendapatkan spesifikasi penuh bagi ke dua-dua iMac tersebut.

  • Mac Mini

Mac Mini

Mac Mini adalah kategori desktop komputer Apple Macintosh yang paling kecil dan murah.

Kelebihan

Saiz kecil Mac Mini memudahkan anda mengubah lokasinya dan sesuai bagi anda yang selalu berpindah-randah.

Kuasa pemprosesannya juga agak berkuasa  dan mampu memproses tugas-tugas yang sedehana berat.

Malah ia juga mempunyai pelbagai jenis sambungan peranti untuk disambungkan bersama peranti lain.

Kelemahan

Apa yang lecehnya adalah anda perlu membeli keyboard, skrin monitor dan tetikus sendiri. Mac Mini hanya didatangkan bersama kabel kuasa sahaja.

Malah ia didatangkan dengan kuasa pemprosesan asas 1.4GHz dual-core Intel Core i5 yang kurang berkuasa, tidak begitu sesuai bagi anda menggunakannya bersama aplikasi profesional.

Harga jualan Mac mini adalah bermula dari RM2,083.00 dan boleh dikonfigurasi perkakasannya sehingga mencecah RM8,511.00.

Layari laman muka Mac Mini bagi mengetahui lebih lanjut tentang spesifikasi teknikal Mac Mini.

(Kalau boleh elakkan daripada membeli Mac mini sebab dikhabarkan model terbaru dijangka akan diperkenalkan tahun hadapan).

  • Mac Pro

MP

Kategori terakhir bagi kategori komputer Apple Macintosh adalah Mac Pro dan ia merupakan komputer meja Apple ke 2 yang paling berkuasa (selepas iMac Pro).

Anda boleh memilih sama ada Mac 6 Core (standard) atau 8 Core (boleh dikonfigurasi maksimum kepada 12 Core) dengan RAM boleh dikonfigurasi sehingga maksimum 64GB (tapi boleh di upgrade sehingga 128GB RAM dari OWC)

Kelebihan

Mac Pro banyak digunakan oleh para profesional di seluruh dunia dalam pelbagai bidang (terutamanya dalam bidang filem dan penyiaran).

Saiznya yang kecil dapat menjimatkan ruang kerja anda dan mudah untuk anda mengubahkan lokasinya.

Kelemahan

Perkakasan keyboard, skrin monitor dan tetikus tidak di datangkan sekali dengan Mac Pro. Harganya juga amat mahal (bermula dari RM12,999). Hanya sesuai bagi yang berkemampuan (sesaja nak beli pun boleh kalau dah mampu).

Malah ia juga sudah agak berusia dan Apple telah pun menyatakan Mac Pro dengan reka bentuk terbaru akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Jadi sebaiknya anda elakkan dari membeli Mac Pro ini.

Anda boleh lihat spesifikasi penuh Mac Pro di laman muka rasminya.

Selain daripada yang di atas…
  • Macbook Pro (MBP non retina) 13″ (sudah ditamatkan penjualannya)

Macbook Pro 13″ (non retina) merupakan keluarga Macbook yang paling lama bertahan.

Ia mula diperkenalkan sejak Jun 2009 dan desain MBP ini telah bertahan sehingga 2016. Ia juga turut mengalami perubahan perkakasan di mana kali terakhir perkakasannya dikemaskini adalah pada Jun 2012.

Selepas itu spesifikasi model 2012 tersebut dijual sehinggalah ia ditamatkan jualannya pada Oktober 2016.silver-laptop-1-1616821-640x960

Kelebihan

MBP 13″ ini merupakan satu-satunya MBP yang masih boleh dinaiktaraf perkakasan MBP kemudiannya serta masih terdapat pemain DVD.

Selain itu, terdapat pelbagai sambungan peranti seperti USB, Ethernet, FireWire, SDXC dan Thunderbolt (1st gen).

Malah model pertama Macbook Pro ini masih AriffMac gunakan sehingga kini tanpa sebarang masalah kritikal.

Diharapkan daripada sedikit info di atas dapat membantu anda yang baru nak berjinak-jinak menjadi pengguna/pemilik Mac.

 

P/s: Harga komputer Apple yang dipaparkan di sini mungkin berbeza daripada harga terbaru jualan komputer Macintosh. Harga terkini Mac adalah lebih murah setelah cukai GST diturunkan kepada 0% GST.

Jadi, sila layari laman web rasmi Apple Malaysia bagi melihat harga baru bagi setiap model Mac yang dijual.

Kalau nak beli Mac dengan harga yang lebih murah, dapatkan tips di sini.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here