Seperti tahun-tahun sebelum ini, Apple sekali lagi akan membuat siaran video internet secara langsung bagi acara terbesar mereka tahun ini iaitu Worldwide Developer Conference (WWDC17) yang akan berlangsung seminggu dari sekarang. Acara tersebut yang bakal berlangsung pada 5 Jun 2017 tepat jam 10 pagi (waktu US) akan dihadiri oleh ribuan pembangun aplikasi dan sistem operasi popular Apple iaitu macOS, iOS, watchOS dan tvOS. Walaupun tidak dapat hadir ke acara tersebut, anda tetap boleh menontonnya secara langsung melalui peranti Apple anda. Anda boleh menggunakan peranti iPhone, iPad, atau iPod touch dengan menggunakan aplikasi pelayar web Safari di atas platfom iOS 7.0 dan ke atas. Anda juga boleh menonton acara WWDC17 ini melalui komputer Mac dengan aplikasi pelayar web Safari 6.0.5 dan ke atas di platfom OS X v10.8.5 dan ke atas.
Bagi pengguna PC pula, anda boleh menontonnya menerusi pelayar web Microsoft Edge diplatfom Windows 10. Manakala jika anda ingin menonton secara langsung menerusi Apple TV, anda perlulah mempunyai Apple TV generasi ke 2 atau ke 3 yang menggunakan perisian versi 6.2 ke atas atau Apple TV generasi ke 4.

