Western Digital telah mempamerkan kepada para pengunjung CES, 4 peranti storan terbaru yang akan dipasarkan tidak lama lagi di tahun 2018 ini.
  1. Sandisk 1TB USB Type-C : Kapasiti storan besar di dalam peranti terkecil. 

Meneruskan legasi teknologi storan, Western Digital menawarkan pratonton masa depan teknologi simpanan data dengan menunjukkan peranti USB berkapasiti 1TB yang menggunakan sambungan pantas USB-C.

Walaupun bersaiz kecil tetapi ia mampu memberikan penyelesaian terhadap masalah penyimpanan sejumlah besar kandungan data kepada pengguna.

Ia pastinya akan menjadi peneman setia kepada pengguna terutamanya kepada peranti mudah alih seperti telefon pintar ataupun komputer yang menggunakan sambungan USB-C sebagai pusat storan tambahan kepada peranti mereka.

Peranti storan yang dikenali sebagai Sandisk 1TB USB Type-C ini adalah peranti prototaip yang masih dalam peringkat pembangunan. Ia juga adalah peranti storan bersaiz terkecil di dunia dengan kapasiti terbesar yang ada ketika ini. Sekaligus menjadikan ia storan terkecil yang terpantas ketika ini.

Namun begitu, Western Digital tidak berkongsi info tentang kelajuan menulis dan membaca data diperanti tersebut. Buat masa ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak Western Digital bila ia akan mula dipasarkan.

2. 256GB SanDisk Ultra Fit USB 3.1 Flash Drive 

Storan terbaru yang menggunakan sambungan pantas USB 3.1 ini sesuai bagi mereka yang memerlukan storan ringkas bagi menyimpan gambar, video, permainan dan fail audio pada komputer riba, tablet, TV, permainan konsol dan sistem audio kereta.

Dengan saiz 256GB, anda mempunyai fleksibiliti untuk menyimpan lebih kandungan – kira-kira, 14,000 foto, 10 jam video HD penuh dan 16,000 lagu dengan 64GB lagi yang masih boleh digunakan untuk simpanan data fail.

Selain dari saiz 256GB (USD149.99), anda juga boleh dapatkannya bagi saiz yang lebih kecil iaitu 128GB (USD119.99), 64GB (USD59.99) dan 16GB (USD34.99).

3. My Passport Wireless SSD

Bagi jurugambar tegar dan peminat dron pula, jika anda memerlukan storan yang tahan lasak dan berprestasi tinggi bagi menyimpan kandungan media anda, Western Digital menghasilkan 2 peranti storan jenis SSD yang pantas dan mudah alih khusus untuk anda.

My Passport Wireless SSD yang dilengkapi dengan ciri sentuhan mudah bagi membolehkan anda sunting dan kongsikan kandungan media tersebut terus dari lokasi anda berada melalui sambungan tanpa wayar. Ia juga menyokong aplikasi pihak ketiga yang membolehkan peranti storan ini disambungkan bersama aplikasi kreatif seperti FiLMiC Pro dan LumaFusion.

Malah ia juga mempunyai bateri terbina dalam yang boleh dijadikan bank kuasa untuk mengecas telefon pintar anda.

Saiz kapasiti storan yang boleh dipilih adalah bermula dari 250GB (USD229.99), 500GB (USD299.99), 1TB (499.99) dan 2TB (USD799.99).

4. SanDisk Extreme Portable SSD

Manakala, SanDisk Extreme Portable SSD pula amat sesuai bagi menyimpan dan menyunting foto beresolusi tinggi dan video secara on-the-go.

 

Storan ini mempunyai keupayaan membaca data pada kelajuan 550MB/S dan boleh dipilih saiz kapasiti yang diperlukan bermula dari 250GB (USD99.99), 500GB (USD169.99), 1TB (USD349.99) dan 2 TB.

Kesemua peranti storan tersebut kecuali Sandisk 1TB USB Type-C sudah boleh di buat pra tempahan di laman web Western Digital dan SanDisk.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here