Perhatian kepada pengguna Windows
Buang aplikasi Quicktime jika anda tidak menggunakannya.
Jika anda pengguna Windows dan terdapat aplikasi namanya Quicktime dan anda memang tidak menggunakannya pun, adalah dinasihatkan supaya anda membuang aplikasi tersebut. Ini kerana, menurut maklumat daripada syarikat keselamatan perisian komputer Trend Micro, Apple tidak lagi akan menyelenggara aplikasi tersebut dengan kemaskini terbaru bagi Quicktime.
Ini berikutan daripada penemuan kecacatan keselamatan pada aplikasi tersebut oleh laman web Zero Day Initiative. iaitu sebuah laman web pemantau keselamatan internet. Hasil penemuan oleh laman web tersebut mendapati kelemahan keselamatan aplikasi Quicktime membolehkan penggodam memasukkan kod sesuka hati terhadap aplikasi QuickTime. Ini membolehkan penggodam mengeksploitasi kelemahan ini dan mengawal komputer anda. Cara untuk membuang aplikasi tersebut ada diterangkan di laman web Apple Support.
QuickTime adalah aplikasi pemain multimedia percuma. Anda boleh menggunakannya untuk melihat pelbagai jenis fail seperti video, audio, gambar, grafik dan filem realiti maya (VR). Ia merupakan sebuah aplikasi yang dibangunkan oleh Apple. Tarikh terakhir Apple mengemaskini aplikasi Quicktime ialah pada Januari 2016 yang lalu. Quicktime terbaru di Windows adalah versi 7.7.9, manakala untuk Mac pula adalah Quicktime 10.4. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang isu keselamatan ini, anda boleh layari laman web Trend Micro dan Zero Day Initiative.
Tinggalkan Komen